KELAS JUTAWAN : 8 LANGKAH MENJADI JUTAWAN
oleh : Dr. Irfan Khairi (IK)
Langkah 1: Mulanya di fikiran
Kekayaan bermula di fikiran. Jikalau anda berfikiran negatif mengenai
kekayaan, maka, ia akan menjadi penghalang mental anda. Lepasi
penghalang mental tersebut dengan berfikiran positif tentang kekayaan. ”Duit banyak bukannya boleh bawak ke kubur” merupakan salah satu
fikiran negatif yang sering diluahkan. Apa kata anda tukar mindset
tersebut kepada, ”Duit banyak, nanti lebih banyak amal jariah boleh
lakukan, walaupun kita sudah ke kubur!”
Sekiranya anda inginkan kekayaan, langkah pertama anda adalah untuk
membuang segala fikiran negatif tentang kekayaan. Tembusi benteng
pertama yang menjadi penghalang kepada kekayaan- iaitu fikiran anda
sendiri. Fikirkan boleh!
Langkah 2: Tetapkan matlamat
Dengan keinginan, anda perlu menetapkan matlamat. Keinginan tanpa
matlamat merupakan perbuatan yang sia-sia oleh kerana kita tidak tahu
arah hala tuju kita. Bayangkan anda menaiki teksi, tetapi tidak
mempunyai matlamat destinasi. Silap hari bulan, anda di tendang keluar
dari teksi. Dengan mempunyai matlamat, dalam konteks ini, destinasi,
maka anda akan dapat menetapkan satu jalan untuk mencapai matlamat anda.
Matlamat bagaikan suatu peta untuk anda sampai ke suatu destinasi.
Tanpa peta yang lengkap, anda pasti akan tersasar dari destinasi anda.
Tetapkan matlamat yang tinggi untuk diri anda, namun, matlamat tersebut
perlu logik diterima fikiran. Sebagai contoh, memperolehi RM1 juta dalam
masa 2 tahun bunyinya tidak logik- amat jarang sekali diperolehi oleh
seseorang (namun tidak mustahil). Namun, memperolehi RM1juta dalam masa
10 tahun adalah suatu yang logik diterima fikiran dan sering dilakukan
oleh jutawan-jutawan di Malaysia. Bagaimanakah caranya? Ikuti
langkah-langkah seterusnya…
Langkah 3: Hendak sejuta daya…
Matlamat tanpa usaha adalah sia-sia. Matlamat tanpa usaha adalah
umpama \”Angan- angan Mat Jenin\”. Kekayaan dan kejayaan tidak akan
jatuh ke riba kita begitu sahaja. Hendak peroleh wang berjuta? Maka,
anda perlu letakkan sejuta usaha untuk merialisasikan impian anda. Tiada
jalan pintas dalam mencapai kekayaan- usaha adalah tangga kejayaan.
Dalam memotivasikan diri anda untuk berusaha mencapai matlamat anda,
anda perlu memberi komitmen setiap hari dalam mencapai impian anda.
Setiap hari, lakukan sesuatu untuk dekatkan anda kepada matlamat anda.
Jangan tinggalkan sehari tanpa melakukan sesuatu walaupun usaha tersebut
adalah sedikit sahaja. Perkataan kaizen yang berasal dari Jepun
bermaksud improvement sedikit demi sedikit. Dengan sikap kaizen inilah
Jepun berjaya menjadi negara maju yang disegani seluruh dunia.
Langkah 4: Pengetahuan & ilmu
Pengetahuan merupakan faktor penting dalam membina kekayaan. Tiada
jalan pintas dalam memperolehi kekayaan. Dengan pengetahuan yang lengkap
dalam sesuatu industri, ini akan memudahkan anda mencapai kekayaan dan
kejayaan.
Cara mudah untuk mendalami ilmu industri yang anda kecimpung adalah
dengan cara membaca. Tanam sifat rajin membaca. Terdapat berbagai-bagai
bahan bacaan di pasaran merangkumi topik-topik tertentu. Dengan
mendalami pengetahuan dalam industri anda, anda akan menjadi pakar dalam
bidang anda sendiri.
Satu perkara penting dalam mencari ilmu adalah anda tidak perlu
reinvent the wheel. Kejayaan telah dicapai dalam semua industri. Apa
yang anda perlu lakukan adalah pelajari dari mereka yang telah berjaya.
Dengan mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya, anda pasti
tidak akan tersasar dari mencapai kejayaan juga.
Langkah 5: Mulakan perniagaan
9/10 rezeki datangnya dari perniagaan. Mereka dari golongan terkaya
di Malaysia dan dunia merupakan ahli perniagaan. Amat sukar dan
mengambil masa yang lama untuk menjadi kaya sekiranya anda seorang
pekerja- namun ianya masih tidak mustahil.
Cuba berjinak-jinak dengan perniagaan. Anda terikat dengan pekerjaan
9-5? Tidak mengapa, anda masih mempunyai masa 5-9! Jikalau anda tidak
dapat memulakan perniagaan secara full time, mulakan perniagaan secara
part time.
Terdapat berbagai-bagai peluang perniagaan di Malaysia. Namun perlu
berhati-hati anda tidak terjerumus dengan perniagaan yang melibatkan
penyelewengan serta skim-skim cepat kaya dan piramid.
Anda boleh memulakan pengalaman perniagaan anda dengan membuka gerai,
franchais, menyertai perniagaan network, memulakan perniagaan dari
rumah ataupun melalui perniagaan Internet- seperti saya! Jangan lupa
langkah 3 iaitu pelajari ilmu perniagaan berkaitan dengan bidang anda.
Langkah 6: Perihal kewangan
Dalami perihal kewangan. Untuk berjaya dari segi kewangan, anda perlu
dilengkapi dengan ilmu mengenai wang. Ketahui bahawa kekayaan bukan
bererti berapa banyak wang anda perolehi sebulan- tetapi, berapa banyak
wang anda dapat simpan sebulan. Seseorang yang berpendapatan RM10,000
tetapi berbelanja RM9,000 sebulan sudah tentu tidak sekaya seseorang
yang bergaji RM3,000 tetapi berbelanja RM1,500 sebulan. Kekayaan
bukanlah berapa banyak anda perolehi, tetapi berapa banyak anda boleh
menyimpan.
Konsep penting dalam memahami perihal wang adalah konsep compound
interest. Maksudnya, pelaburan wang anda yang menghasilkan faedah,
kemudiannya keuntungan faedah serta wang pokok anda itu dilaburkan
semula. Dengan menggunakan konsep compound interest, wang anda akan
berganda dua kali dalam masa 7 tahun sekiranya faedah yang anda terima
adalah 10%. Menurut Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad, Poor Dad,
selain dari memulakan perniagaan, cara mencapai kekayaan adalah melalui
pelaburan.
Langkah 7: Lakukan apa yang anda suka
Anda boleh mencapai kekayaan tidak kira dalam apa bidang jua. Satu
kesilapan besar yang sering terjadi adalah apabila kita memikirkan
bahawa bidang yang kita dalami tidak boleh menjadikan kita kaya. Sering
kita fikirkan, industri yang lain boleh memberi pulangan yang lebih
tinggi. Dalam buku motivasi klasik Acres of Diomand, penulis mengatakan
bahawa senario \”the grass is greener on the other side\” sering terjadi
pada setiap insan. Ini bererti, anda akan sering merasakan industri
lain lebih membawa keuntungan dari industri anda. Bidang yang lain lebih
memberi kekayaan.
Pada hakikatnya, kekayaan dan kejayaan boleh dicapai tidak kira apa
bidang pun. Lakukan sedikit tinjauan- anda pasti akan bertemu kisah
mereka yang berjaya dan mencapai kekayaan dalam bidang anda juga!
Langkah 8: Mereka yang berjaya adalah mereka yang sering gagal
Sejarah sering menceritakan kejayaan seseorang sering kalinya dikait
dengan kegagalan di masa yang lampau. Ini adalah sememangnya benar oleh
kerana mereka yang berjaya pasti mempunyai cerita kegagalan yang boleh
dikongsikan.
Perbezaan mereka yang berjaya dan mereka yang tidak, adalah, mereka
yang berjaya akan mengambil kegagalan sebagai iktibar. Tidak kira berapa
kali kegagalan mengundang, mereka tidak akan berputus asa. Pencipta
lampu mentol, Thomas Edison hanya mencapai kejayaan selepas seribu kali
mencuba. Apabila ditanya, bagaimana beliau masih boleh berusaha walaupun
gagal begitu banyak kali, jawapannya adalah, dia tidak menganggap
dirinya gagal. Dia menganggap beliau menjumpai 999 cara yang salah dalam
mencipta lampu mentol!
RAHSIA 8 JUTAWAN TERBONGKAR!
No comments:
Post a Comment