KELAS JUTAWAN : STRATEGI DARIPADA PENIAGA KECIL KEPADA JUTAWAN
Perniagaan
merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan
pulangan lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan
bisnes yang diceburi. Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting
prospek perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu
bergelar jutawan. Fakta sendiri telah membuktikan bahawa majoriti
jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Contohnya, Tan Sri
Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan Melayu terkemuka di
Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan.
Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap dan
belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih
pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah
mampu untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga
kecil yang menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga
sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan pada masa akan datang. Beberapa
strategi dan panduan telah digariskan untuk memandu para peniaga kecil
terus giat berusaha bagi memastikan perniagaan berkembang maju dan mampu
untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu masa nanti.
Mesti Pandai MENCURI!!
Haa!!
Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak
tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang
dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri
yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia
perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk
meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan
memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling. Contohnya,
sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan
perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang
tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula
secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam
perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan
menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk
seseorang individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak
semua orang akan melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada
yang melihat peluang itu sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza
dengan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Berpandukan
kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak
lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap
perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka
peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan
dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan
khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam
kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan kewangan
yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi
perniagaan mereka.
Antara
agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan
peniaga kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB),
dan banyak lagi. Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak
kerajaan semata-mata untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan
diri dalam bidang perniagaan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan
iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki perniagaan sendiri.
Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang yang terhidang
ini atau tidak.
Motivasi yang Tinggi
Kegagalan
merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga.
Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus
gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan
dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat
dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha
membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan. Motivasi
yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah
kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa
jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan
sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas
dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan
menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai
kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan
sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.
Setiap
peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh
kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan
dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan tepat..”
Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan.
Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan
sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan
kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan
bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan.
Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik
dalam berniaga. Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran
dalam berniaga. Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap
Baginda S.A.W bertambah. Begitu juga dengan kita pada hari ini,
sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni dalam perniagaan pastinya
perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian dan menarik lebih
ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju dan
berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi
kesan kepada perniagaan anda sendiri.
Lain Daripada Yang Lain
Ya,
lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu
perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding
kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai
baju secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti
kita akan menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan
dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep
ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita
menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang
kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya ABC yang
kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan. Walaubagaimanapun, untuk
menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran
kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang
boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan
terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita
memasarkan produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu
langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan
pernigaan menjadi lebih terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil
perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk
bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan.
Contoh,
kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik
yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU
adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu
yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan.
Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri. Bermula dengan
Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan
menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih
kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek
lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk
menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu,
setiap para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan
terus berfikiran kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih
menarik.
Persaingan Sihat
Dalam
sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya
selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus
untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan
buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan
baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa
sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam
kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan
persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada
hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga
lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga
tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga
lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat.
Pergaduhan juga boleh berlaku.
Oleh
itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa
dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk
menanganinya. Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga
lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut
berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang
dipasarkan.
Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan
diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan
sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya,
kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..” Ini
bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang
lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai
wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai
mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan
selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian.
Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam
perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi
mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan
masalah dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam
berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual
barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian
semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga
yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh
melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat
keberkatan dari sisi Islam.
Banyak
lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh
peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya.
Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan
sekiranya keempat-empat elemen diatas diamalkan dengan baik. Teruskan
berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu
menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat
ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang
membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan
9/10 daripada pintu rezeki. Fakta ini ternyata relevan apabila begitu
ramai jutawan yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada
bisnes yang dijalankan. Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari
ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa
tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu
perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok
jutawan yang disegani pada satu hari nanti. Semoga berjaya!!
Sumber : http://www.usahawan.com/strategi-bisnes/strategi-daripada-peniaga-kecil-kepada-jutawan.html
RAHSIA 8 JUTAWAN TERBONGKAR!
No comments:
Post a Comment