KELAS JUTAWAN : LAGI TINGGI PENDAPATAN... LAGI TINGGI BELANJA
Oleh : Irfan Khairi
Masalah kewangan bukan sahaja hadir pada mereka yang kekurangan wang. Mereka yang banyak wang juga mempunyai masalah wang. Bak pepatah yang berbunyi. "Lebih besar periuk, lebih besar keraknya". Bila pendapatan bertambah, perbelanjaan juga turut bertambah. Prinsip ini dikenali sebagai undang-undang Parkinson, dihasil oleh penulis C. Northcote Parkinson bertahun-tahun dulu. Prinsip ini juga menjelaskan mengapa mereka yang berpendapatan tinggi juga boleh menghadapi masalah kewangan.
Pendapatan naik, perbelanjaan naik
Bukan satu keadaan yang luar biasa bila pendapatan kita hari ini, mungkin sudah lebih daripada pendapatan kita ketika baru mendapat kerja bertahun-tahun lalu. Pada ketika itu, rasa seperti kewangan tidak cukup sekadar cukup-cukup makan sahaja. Hari ini, bila pendapatan sudah berganda, pelik apabila mungkin dirasakan kewangan tidak mencukupi menanggung gaya hidup hari ini.
Tabiat manusia sering mahu berbelanja apa yang dimiliki, dan lebih lagi. Tidak kira berapa banyak pendapatan, tetap merasakan ianya tidak mencukupi.
Melawan arus
Untuk keluar daripada keadaan ini, secara sedar seseorang itu perlu melawan arus undang-undang Parkinson. Anda perlu bertekad untuk melawan kehedak untuk berbelanja lebih apabila mendapat pendapatan yang lebih.
Sememangnya kita merasakan apabila pendapatan bertambah, kita mampu membeli lebih banyak barangan untuk kepuasan diri. Namun sekiranya kenaikan perbelanjaan adalah selari dengan kenaikan pendapatan, maka keadaan kita adalah sama sahaja ketika berpendapatan rendah.
Teringat saya pada satu perjumpaan bersama suami dan isteri yang berpendapatan agak tinggi. Gabungan pendapatan bulanan suami dan isteri itu adalah tinggi sehingga mencecah RM30,000. Tetapi, dengan memiliki 4 buah kereta mewah, dan rumah bungalow yang bernilai RM3juta yang masih berhutang. Dihujung bulan baki wang yang ada ditangan adaah kurang dari RM2,000 sahaja bulanan apabila telah ditolak dengan perbelanjaan-perbelanjaan mewah yang lain. Maklumlah, apabila memiliki rumah mewah dan kereta mewah, pastinya perlu keluar makan-makan pun di tempat yang mewah juga.
Baki sebulan dalam lingkungan RM2,000 mungki ndilihat adalah besar. Tetapi jangan lupa pula, bila gaya hidup mewah selain daripada perbelanjaan rutin yang mewah, perbelanjaan kecemasan juga adalah mewah!
Bayangkan sekiranya kereta mewah perlu di hantar servis kerana ada kerosakan. Tak akan pula belanja bengkel kereta mewah berates ringgit. Pastinya beribu ringgit dan jangan lupa gandakan dengan 4 biji kereta. Ataupun kos baik pulih sebarang kerosakan dirumah. Pastinya rumah mewah menggunakan lekapan mewah. Harga gantinya? Anda sendiri tahu jawapan bukan?
Apa yang berlaku disini adalah keadaan keluarga yang tewas dengan undang-undang Parkinson. Walaupun berpendapatan tinggi, tetapi tidak mampu mengelakkan diri dari masalah kewangann
Mampukah anda...
Kemampuan kewangan bukan hanya dilihat pada sama ada anda mampu mendapatkan sesuatu itu pada pendapatan anda kini. Tetapi, sama ada anda mampu mengekalkan gaya hidup anda. Bukan untuk sebulan dua atau setahun dua, tetapi untuk berpuluh tahun akan datang. Tidak semestinya apabila anda berpendapatan tinggi, anda akan hidup selesa bebas masalah kewangan. Anda akan bebas kewangan apabila secara sedar dengan tekad anda melawan undang-undang Parkinson ini.
RAHSIA 8 JUTAWAN TERBONGKAR!
No comments:
Post a Comment