KELAS JUTAWAN : PENGURUSAN KEWANGAN YANG BIJAK - AMALKAN
S E B E L A S
S – Simpan untuk diri (dan keluarga) anda dahulu!
Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, pada tahun ini, berikan keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu (Pay Youself First). Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.
E – Elak pembaziran (Economise)
Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli barangan bayi yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan si comel. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan “house brand” yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.
B – Bajet
Buat bajet, tulis dan patuhinya! Sesetengah ibu bapa gemar membuat bajet secara kasar atau “dalam kepala” sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.
E – Elak emosi semasa membuat keputusan berkaitan kewangan
Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan (contohnya mendapat bonus). Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda- kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.
L – Libatkan si kecil
Sering kali, ibu bapa tersalah anggap bahawa anak kecil tidak mampu memahami konsep kewangan. Tanggapan ini tidak tepat kerana sedar atau tidak, biasanya si kecil memang tahu meniru cara dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, libatkanlah anak-anak dalam hal-hal kewangan anda. Salah satu cara mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membawa anak-anak ketika menjalankan transaksi kewangan. Contohnya, bawa anak-anak bersama apabila anda pergi ke bank. Dengan cara ini, anda dapat membentuk tabiat menabung dan menyimpan daripada usia muda lagi.
A – Awasi skim pelaburan tidak sah
Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.
S - Sediakan dana kecemasan
Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah/kemalangan yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan untuk mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup kita tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.
Kesimpulan
Kejayaan dalam pengurusan kewangan bergantung kepada usaha anda! Jika anda perlukan sedikit inspirasi, lihatlah pasangan yang tersayang, dan jika masih belum mendapat ilham, lihatlah muka si comel anda. Lakukanlah yang terbaik untuk diri, pasangan dan keluarga demi mencapai kejayaan dalam pengurusan kewangan anda. Semoga tahun ini memberikan anda sekeluarga keadaan kewangan yang lebih stabil.
RAHSIA 8 JUTAWAN TERBONGKAR!
No comments:
Post a Comment