KELAS JUTAWAN : LINDUNGI DUIT ANDA!
Oleh : Irfan Khairi
Pastinya anda pernah dengar ataupun mungkin pernah alami keadaan ini, apabila pendapatan bertambah, perbelanjaan juga bertambah. Mana tidaknya, kita akan rasakan desakan untuk membelanja lebih banyak lagi apabila pendapatan turut meningkat. Mungkin pada rumah yang lebih besar dan selesa, kereta yang lebih mewah dan laju, handphone yang lebih canggih dan terkini dan sebagainya.
Adakalanya juga tambahan wang yang kita perolehi membawa kita kurang berhati-hati dalam perihal kewangan seperti membuat keputusan kewangan tanpa pertimbangan yang wajar oleh kerana alasannya, "tidak mengapa, ada lebihan wang". Begitu juga adakalanya lebihan wang yang kita perolehi membuatkan kita sasaran sebagai tempat bantuan kewangan dari keluarga, kenalan dan juga mereka yang tidak dikenali.
Untuk menjadi bebas kewangan, sebagai permulaan anda perlu lindungi wang anda daripada diri anda sendiri, dari orang lain dan juga dari sebarang kecemasan.
Lindungi wang dari diri anda sendiri
Wang anda, tanggungjawab anda. Penghalang utama dalam mencapai kebebasan kewangan adalah diri kita sendiri. Bila ada lebihan wang, terasa desakan untuk lebihkan perbelanjaan. Sesuatu yang amat biasa terjadi oleh kerana kita merasakan perlunya mengupah diri sendiri atas setiap tambahan kewangan yang kita perolehi. Tiada salahnya melakukan ini, malah ia juga merupakan satu motivasi untuk kita menjadi lebih berjaya dalam usaha bila melihat hasil daripada penat usaha kita menjana pendapatan.
Apa yang penting adalah keseimbangan. Lindungi wang kita dengan mengimbangkan pendapatan dan juga perbelanjaan. Ramai yang gagal melindungi wang apabila lebihan wang yang diperolehi digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan diri sendiri untuk kepuasan.
Lindungi wang dari orang lain
Sememangnya menjadi orang yang baik hati dan banyak membatu adalah sesuatu yang bagus. Bila ada lebihan wang, pastinya kita suka membantu, atau diminta membantu, kenalan dan keluarga yang memerlukan. Ada yang minta pinjam, ada yang minta di belanja.
Sekali lagi, keseimbangan diperlukan. Mungkin pengalaman anda berbeza dengan pengalaman saya, kerana wang yang dipinjam jarang sekali dapat kembali. Ianya semakin sukar juga apabila yang meminta pinjam atau belanja dari keluarga sendiri dan keadaan kewangan lebihan juga sukar untuk menampung.
Dalam soal kewangan peribadi, perlu sentiasa utamakan diri sendri. Bunyi agak mementingkan diri sendiri, tetapi perlu difikir juga soal diri, anak-anak, suami atau isteri. Sekiranya mempunyai wang lebihan yang boleh diberi tanpa mengganggu kewangan diri, tidak mengapa. Tetapi sekiranya wang lebihan diberi kesemuanya sehingga diri dan keluarga sendiri terjejas, maka ia adalah masa untuk lindungi wang anda dari orang lain.
Lindungi wang untuk kecemasan
Siapa akan membantu anda sekiranya terdapat sebarang kecemasan yang memerlukan wang? Sekiranya sedia dilahirkan dalam keluarga berada yang mempunyai ibu, ayah atau ahli keluarga yang kaya raya yang sedia membantu apa sahaja, mungkin ada tempat mengadu dalam membantu kewangan. Tetapi tidak ramai begitu.
Anda perlu lindungi wang untuk kecemasan seperti hilang punca pendapatan tiba-tiba, perbelanjaan kecemasan yang tidak diduga, dan apa sahaja kecemasan yang diri sendiri tidak terfikir akan terjadi.
Kewangan adalah tanggung jawab sendiri oleh itu, tanggungjawab diri juga melindungi wang untuk sebarang kecemasan. Jangan pula sehingga diri kita pula yang menjadi mangsa meminjam wang sana sini akibat kecuaian kewangan diri- oleh kerana orang lain juga perlu melindungi wang mereka!
Dengan melindungi duit kita sendiri, bukan sahaja kita akan sentiasa berada dalam keadaan kewangan yang sihat, malah ia juga akan memberi satu keyakinan kewangan pada diri kita sendiri. Ini kerana kita akan merasakan duit kita yang dilindugi adalah dalam kawalan dan tanggungjawab diri kita sendiri- dan ini amat penting dalam mencapai kebebasan kewangan.
RAHSIA 8 JUTAWAN TERBONGKAR!
No comments:
Post a Comment